Wednesday 3 April 2013

RESOLUSI TENTANG KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN



• Menyedari bahawa Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang ialah antara lima prinsip Rukun Negara yang wajib dijunjung dan dipertahankan;

• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan mengikut peruntukan Perlembagaan Malaysia (Perkara 152);

• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961, dan Akta Pendidikan 1996;

• Menyedari bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah dan IPTA merupakan pelanggaran peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia (Perkara 152), Ordinan Pelajaran 1957, Akta Pelajaran 1961, dan Akta Pendidikan 1996;

• Menyedari bahawa dasar PPSMI turut mendorong pelanggaran Perlembagaan Malaysia (Perkara 152) apabila kursus-kursus tertentu dalam bidang ilmu kemanusiaan, sains sosial, dan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diajarkan dalam bahasa Inggeris;

• Menyedari bahawa bahasa Melayu telah terbukti berjaya memainkan peranan mengembangkan semua bidang ilmu dan menghasilkan ramai pakar dalam pelbagai bidang;

• Menyedari bahawa bahasa Melayu telah berjaya memainkan peranannya sebagai bahasa perpaduan rakyat berbilang kaum;

• Menyedari bahawa bahasa Melayu ialah teras jati diri bangsa dan budaya Malaysia;

• Menyedari bahawa bahasa Melayu akan lemah dan terpinggir di negara ini seperti nasib yang dialami oleh tulisan jawi;

• Menyedari bahawa bahasa Mandarin dibenarkan menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah Cina serta menjadi mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah terpilih;

• Meyakini bahawa bahasa yang terbaik untuk pembelajaran ialah bahasa ibunda dan bahasa Melayu mempunyai penutur yang menjangkau 300 juta di seluruh dunia;

• Meyakini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa untuk membina tamadun bangsa; dan

• Menginsafi bahawa pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dan IPTA memerlukan usaha pemantapan yang berterusan;


MAKA

Kami, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia yang bermesyuarat pada hari ini, Jumaat bersamaan 13 Mac 2009, membuat ketetapan dan menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, dan semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan supaya mengembalikan martabat bahasa Melayu dan mendaulatkannya tanpa sebarang alasan melalui tindakan meliputi perkara-perkara berikut:



A) PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

1. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar semua mata pelajaran (kecuali mata pelajaran pelbagai bahasa) di sekolah dan IPTA dikembalikan seperti sebelum tahun 2003 dan usaha yang gigih digerakkan bagi memantapkannya.

2. Guru dan pensyarah diberi latihan dalam perkhidmatan yang berkesan dan berterusan untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.

3. Pelajar aliran sastera dan sains digalakkan mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran elektif untuk memupuk estetika, menggalakkan minat membaca dan memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu.


B) PEMBINAAN ISTILAH, PENERBITAN, DAN PENTERJEMAHAN

1. Usaha dalam pembinaan, penyelarasan, pemantapan istilah, dan penterjemahan buku dalam semua bidang pengetahuan digerakkan semula dengan penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, dan IPTA.

2. Penerbitan buku dan jurnal antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi diusahakan secara giat melalui kerjasama dengan negara pengguna bahasa Melayu serantau.

3. Usaha perlu digiatkan supaya guru dan pensyarah menghasilkan penulisan mengikut bidang masing-masing untuk dimuatkan dalam pelbagai penerbitan dan jurnal ikhtisas dengan ganjaran dan pengiktirafan yang setimpal.


C) PEMBUDAYAAN BAHASA MELAYU

1. Pemupukan rasa kebanggaan tulen terhadap bahasa dan budaya bahasa Melayu dilakukan secara terancang, menyeluruh, dan berkesan dengan penglibatan semua pihak yang bertanggungjawab.

2. Penerbitan buku, filem, perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu dan seni digiatkan untuk mengembangkan budaya membaca, dan belajar untuk terus belajar.

3. Pelbagai kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif hendaklah disusun dan dilaksanakan bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

BAGI melaksanakan usul di atas, langkah-langkah berikut dicadangkan:

1. Semua wakil rakyat dan penjawat awam perlu menjadi contoh kepada rakyat yang diwakili dengan menunjukkan sikap, tindakan, dan penghayatan terhadap Perlembagaan Malaysia, dan memperjuangkan bahasa kebangsaan.

2. Setiap media perdana perlu memegang amanah dan tanggungjawab memupuk semangat kebanggaan dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan untuk membina jati diri bangsa melalui pelbagai penerbitan / rancangan.

3. Pemantauan terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada setiap peringkat pendidikan hendaklah dilakukan oleh sebuah unit khas yang ditubuhkan di Kementerian Pelajaran Malaysia / Kementerian Pengajian Tinggi.

4. Semua guru, pensyarah, dan pegawai pada setiap peringkat di Kementerian Pelajaran Malaysia / Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah mengamalkan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan rasmi.

5. Penguasaan bahasa Inggeris pelajar pada semua peringkat pendidikan hendaklah dipertingkat melalui strategi serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang tepat dengan menjadikannya sebagai mata pelajaran wajib lulus.




asa.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=73:resolusi-tentang-kedudukan-bahasa-melayu-dalam-pendidikan-&catid=35:arkib&Itemid=77




No comments:

Post a Comment